Skip to main content

Sifilis: Tahu atau Tidak?


Sewaktu saya berada di klinik XYZ sebagai observer tempoh hari, banyak kes-kes menarik yang saya dapat tengok dan belajar. Dalam banyak-banyak kes, ada dua kes yang agak memberi kesan pada saya dan buat saya terfikir-fikir.

Kes 1:

Seorang pesakit lelaki datang bertongkat, tidak mampu berjalan tanpa bantuan tongkat. Si isteri datang bersama, bersusah-payah membantu si suami yang dalam kesakitan. Katanya sakit pada sendi kaki. Beliau pernah mempunyai sejarah gout, kemungkinan kali ini goutnya itu menyerang kembali. Namun, kandungan uric acid tidaklah terlalu tinggi. Doktor mengambil darah untuk membuat pemeriksaan darah.

Beberapa hari kemudian, keputusan darah keluar. Doktor terkejut, saya pun terkejut. TPHA positif. Bila pesakit datang untuk kali kedua setelah dipanggil, si isteri masih setia datang menemani. Doktor sudah menjelaskan tentang penyakit kepada si suami sendirian terlebih dahulu. Sifilis. Si suami juga turut terkejut, pucat wajahnya. Diminta kepada doktor supaya tidak diceritakan pada si isteri nanti. Suasana menjadi tegang apabila isteri juga turut tertanya-tanya dan mula curiga apabila doktor menjelaskan bahawa kedua mereka perlu mengambil ubat dan hentikan hubungan kelamin buat sementara. Si isteri bukanlah seorang yang tiada pelajaran, kerjanya juga dalam bidang kesihatan (bukan doktor). Memang pastinya si isteri dapat mengesyaki sakit si suami. Air mukanya berubah. Saya dapat lihat si isteri seperti hampir menangis di situ.

Kes 2:

Seorang wanita datang dengan ulcer yang sangat banyak dan nanah di kawasan kemaluan. Tanpa perlu pemeriksaan darah, doktor dapat mendiagnos pesakit. Sifilis. Doktor memakaikan urine bag pada pesakit untuk tempoh 2 minggu (kalau tak silap) untuk memastikan ulcer dapat cepat sembuh.

Selepas dua minggu, pesakit datang semula ditemani si suami untuk membuang urine bag. Keduanya kelihatan ceria dan mesra, penuh kasih sayang. Suami bertanya keadaan isteri. Alhamdulillah, ulcer semakin sembuh. Si isteri tersenyum gembira mendengar keadaannya yang semakin bertambah baik. Aku tertanya-tanya, benarkah itu suaminya? Kenapa reaksi si isteri dan si suami seperti menganggap sifilis itu sakit biasa seperti demam, batuk sahaja? Akak staff cakap, mereka kurang pendedahan, tidak tahu dan tidak faham apa itu sifilis. Jelas akak itu lagi, dia sendiri juga tidak pernah faham tentang sifilis sebelum dia mula kerja di klinik itu. Saya mengangguk faham mendengar kata-kata akak itu. Oh, patutlah.

Melihat dua kes ini, sesuatu bermain di fikiran saya. Manakah sebenarnya yang lebih baik?
Perlukah kita tahu sesuatu, tapi perkara itu akan menyakitkan kita?
Atau lebih baik kita tidak tahu sesuatu perkara, supaya kita sentiasa gembira dan bahagia?

Hurmm.

*sedikit info tentang sifilis:

1. Sifilis ialah suatu penyakit yang disebar melalui hubungan seksual (bertukar-tukar pasangan). Juga boleh disebar melalui ibu kepada bayinya (semasa kehamilan).

2. Sifilis mempunyai 4 peringkat:

Peringkat pertama: ulcer yang tidak sakit di kawasan kemaluan / mulut

Peringkat kedua: jika tidak dirawat, ruam akan mula timbul di badan, tapak tangan dan tapak kaki. Selsema, demam dan sakit badan juga boleh berlaku

Peringkat ketiga: pesakit tidak mempunyai sebarang gejala namun dapat dikesan melalui ujian darah

Peringkat keempat: kuman merebak ke seluruh badan seperti otak, jantung, saraf tunjang dan tulang. Antara gejala yang dialami ialah kesukaran untuk berjalan, kebas, buta secara beransur.

3. Sifilis dapat dirawat dengan regimen antibiotik. Pesakit dapat sembuh sepenuhnya jika makan ubat yang diberikan dan mendengar nasihat doktor dengan baik.

4. Cara yang paling baik untuk mencegah sifilis adalah dengan mengelakkan diri dari hubungan seksual dan bertukar-tukar pasangan.

Sumber rujukan:
http://www.myhealth.gov.my/sifilis/

Comments